Tuesday, May 31, 2016

Pantai Penunjuk



 
Pantai Penunjuk yang terletak di Kijal, Kemaman ini sering menjadi tumpuan pengunjung terutama pada hujung minggu dan hari cuti. Kijal merupakan sebuah pekan kecil yang terletak 32km dari Bandar Chukai, Kemaman.

Selain dari perkampungan nelayan, Pantai Penunjuk di Kijal juga merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Daerah Kemaman. Suasana yang tenang dan pemandangan indah menjadikan Pantai Penunjuk destinasi percutian dan persinggahan popular di Kijal. Pelbagai kemudahan disediakan di Pantai Penunjuk seperti Wakaf dan juga Taman Permainan Kanak-kanak.
Sekiranya anda berkunjung ke Pantai Penunjuk, nikmatilah makanan tradisi Lemang yang amat terkenal di Terengganu. Lemang dihasilkan dari beras pulut dan santan yang dimasukkan dalam ruas buluh. Kemudian dilapik dengan daun pisang sebelum dimasak. Selain Lemang, anda juga berpeluang merasai keenakan durian jika datang berkunjung pada musim durian.

Sunday, May 15, 2016

Pantai Telaga Simpul



Pantai Telaga Simpul terletak 15 km dari Bandar Chukai, iaitu kira-kira 15 minit perjalanan. Lokasi Pantai Telaga Simpul ialah di Teluk Kalong dalam Daerah Kemaman, Terengganu. Ia merupakan satu lagi destinasi pelancongan menarik di Kemaman.

Pantai Telaga Simpul sering menjadi tumpuan pengunjung terutama pada hari minggu dan hari kelepasan. Pantai yang cantik, pemandangan indah dan suasana redup di Pantai Telaga Simpul memberi ketenangan kepada pengunjung yang berkunjung ke sini.
Aktiviti yang menjadi pilihan pengunjung di Pantai Telaga Simpul ialah berkelah, berehat dan beriadah. Antara kemudahan yang terdapat di Pantai Telaga Simpul ini ialah wakaf, taman permainan, gerai makan, kiosk perniagaan, tandas awam, tong sampah dan surau. Sekiranya anda di Daerah Kemaman, berkunjunglah ke Pantai Telaga Simpul.

Sunday, May 1, 2016

Pantai Penarik



Pantai Penarik terletak di Daerah Setiu. Jarak perjalanan untuk ke Pantai Penarik dari Kuala Terengganu ialah 90 km. Dari Pantai Penarik, anda akan dapat melihat beberapa pulau yang terkenal seperti Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah dan juga Pulau Redang. 

Di sepanjang Pantai Penarik juga terdapat benyak gerai makan dan tempat berkelah. Pemandangan yang cantik dan perkampungan nelayan menjadikan Pantai Penarik amat sesuai untuk dikunjungi.
Pantai yang panjang, landai dan pasir yang memutih menjadikan Pantai Penarik tumpuan penduduk tempatan dan pelancong untuk berkunjung terutama pada hujung minggu atau hari cuti. Pantai Penarik juga menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang dalam perjalanan untuk berehat dan makan di gerai makan yang terdapat di sepanjang pantai ini.

Untuk ke Pantai Penarik dari Kuala Terengganu, anda perlu menuju ke Setiu atau Kota Bharu melalui jalan pantai. Sekiranya anda tidak pasti, tanya penduduk tempatan. Dari Kota Bharu, anda perlu menuju ke Kampung Raja di Daerah Besut. Dari sini anda perlu mencari papan tanda untuk ke Kuala Terengganu melalui jalan pantai. Apabila tiba di Daerah Setiu, anda akan menemui Pantai Penarik.