Pantai Bukit Keluang merupakan salah satu destinasi
pelancongan utama di Daerah Besut, Terengganu. Ia terletak di Kampung Bukit
Keluang, iaitu 3 km dari Kuala Besut dan 19 km dari Bandar Jerteh. Dari
Bandar Kuala Terengganu, jaraknya ialah kira-kira 140km, iaitu ke utara
Terengganu.
Pantai Bukit Keluang merupakan pantai yang menjadi tumpuan
pelancong kerana mempunyai daya tarikan dan keindahan yang tersendiri. Selain
dari menikmati keindahan pemandangan, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai
aktiviti di Pantai Bukit Keluang seperti
berkelah, mandi-manda, memancing, berkhemah, mendaki Bukit Keluang, luncur air,
jet ski dan bermain wau.
Bukit yang ada di tepi pantai ini dinamakan Bukit
Keluang dimana terdapat struktur batuan yang membentuk gua-gua kecil di tepi
pantai. Kemudahan pelantar yang diperbuat dari kayu juga disediakan di tepi Bukit
Keluang bagi kemudahan pengunjung untuk berjalan sambil menikmati keindahan
pemandangan Pantai Bukit Keluang melalui lereng-lereng bukit. Pengunjung
yang berminat juga boleh meneroka dan
menikmati pemandangan di dalam gua yang terdapat di sini.
Pelbagai kemudahan turut disediakan di Pantai Bukit Keluang untuk kemudahan
pengunjung seperti gerai makanan, surau, wakaf rehat, taman permainan
kanak-kanak, titian tasik air laut, laluan (tangga) merentas bukit dan tandas
awam.
Bagi pengunjung yang ingin bermalam di Pantai Bukit Keluang, terdapat
banyak tempat penginapan seperti hotel,
resort, chalet dan inap desa. Sekiranya anda memilih untuk bercuti di Besut,
jangan lepaskan peluang untuk ke Pantai Bukit Keluang.
No comments:
Post a Comment