Friday, July 1, 2016

Pantai Teluk Lipat




Pantai Teluk Lipat merupakan sebuah pantai yang amat menarik untuk dikunjungi bagi mereka yang gemar memancing. Pantai Teluk Lipat ini juga sering dipilih menjadi lokasi Pertandingan Memancing Gp Joran yang dianjurkan Berita Harian dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu.

Pengunjung yang berkunjung ke sini juga boleh memilih untuk berehat di tepi pantai sambil berkelah atau menikmati pelbagai jenis makanan termasuk keropok yang dijual di gerai-gerai sepanjang pantai ini.

Di Pantai Teluk Lipat ini juga pengunjung boleh melihat kesan peninggalan sejarah iaitu sebuah jeti yang digunakan sewaktu zaman perlombongan bijih di Bukit Besi suatu ketika dahulu.

Kemudahan penginapan juga banyak terdapat di sepanjang Pantai Teluk Lipat ini. Pantai ini juga sering menjadi tumpuan para pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Tempatan untuk berehat sambil menenangkan fikiran pada hari minggu.

Thursday, June 30, 2016

Pantai Teluk Mak Nik@D'Monica Bay



 
Pantai Teluk Mak Nik terletak kira-kira 150 km dari Bandaraya Kuala Terengganu. Lokasi Pantai Teluk Mak Nik ini ialah di Geliga, Kemaman dan berhampiran dengan Institut Tadbiran Awam Malaysia (INTAN). Dari Bandar Chukai, perjalanan hanya mengambil masa 5-10 minit untuk ke sini.

Pantai Teluk Mak Nik sentiasa sesak dengan kehadiran pengunjung terutama pada hujung minggu atau musim cuti persekolahan. Pantai Teluk Mak Nik menjadi sangat popular selepas terpilih sebagai salah  satu lokasi penganjuran acara Sukma 2008.

Pelbagai aktiviti yang menarik juga sering diadakan di Pantai Teluk Mak Nik. Pantai yang turut dikenali penduduk tempatan sebagai 'D'Monica Bay' itu merupakan lokasi penganjuran beberapa acara dan majlis oleh agensi kerajaan dan swasta.
 
Antara aktiviti yang selalu dianjurkan di sini ialah hari keluarga, pertandingan bola sepak pantai dan bola tampar pantai selain pertandingan memancing. Gelanggang Bolasepak dan Bola Tampar yang dibina  semasa penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2008 juga ada di Pantai Teluk Mak Nik. Peminat Futsal juga boleh mempamerkan kelincahan di gelanggang Futsal yang ada di pantai ini.

Kelab Motocross juga sering melakukan latihan dan persembahan di pantai ini yang menyebabkan orang ramai tertarik untuk ke sini. Bagi yang berminat dengan aktiviti sukan permotoran, anda boleh mencuba kehebatan dan ketangkasan anda di lapangan motorcross.

Pantai Teluk Mak Nik juga merupakan lokasi tumpuan penyu bertelur yang biasanya bermula dari Mac hingga Oktober. Spesies yang biasa naik ke Pantai Teluk Mak Nik ialah Penyu Agar atau dikenali 'Green Turtle'.

Antara kemudahan awam lain yang terdapat di Pantai Teluk Mak Nik ini ialah wakaf, kiosk perniagaan, tandas awam dan taman permainan kanak-kanak.

Bagi pengunjung, keindahan dan kedamaian di Pantai Teluk Mak Nik menjadi faktor utama ia menjadi pantai pilihan untuk beriadah dan berkelah bersama keluarga dan rakan-rakan biarpun pada musim tengkujuh. Sekiranya anda berkunjung ke Pantai Teluk Mak Nik, jangan lupa untuk mencuba makanan popular di sini iaitu Otok-otok, Sata dan Keropok.

Bagaimana untuk ke Pantai Teluk Mak Nik@D'Monica Bay

Dari Bandar Chukai, pandu kenderaan ke arah Kuantan. Kira-kira 5-10 minit perjalanan, apabila tiba di Hentian Bas Ekspress / Masjid Geliga, belok ke kiri dan teruskan perjalanan sehingga anda menemui Pantai Teluk Mak Nik.

Wednesday, June 15, 2016

Pantai Teluk Ketapang



Pantai Teluk Ketapang merupakan salah satu pantai yang menjadi tarikan utama pelancong di Kuala Terengganu. Pantai yang terletak kira-kira 4 km dari Kampung Wakaf Tembesu dan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud ini menjadi tarikan utama pelancong tempatan dan luar kerana keadaan pantainya yang cantik dan bersih. Pengunjung yang datang ke sini boleh mengikuti aktiviti menunggang kuda, memancing dan bermain layang-layang.
Selain dari taman permainan, pondok rehat juga banyak disediakan untuk kemudahan pengunjung berehat & berkelah bersama keluarga. Selain keindahan pantai ini, pengunjung boleh menikmati ’sotong celup tepung’ yang popular di kawasan ini. Kemudahan rumah penginapan juga disediakan dengan kadar berpatutan untuk pengunjung yang ingin bermalam di kawasan pantai ini.

Wednesday, June 1, 2016

Pantai Teluk Gadong



Pantai Teluk Gadong merupakan satu lagi destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi. Terletak berhampiran UITM Terengganu Cawangan Dungun, Pantai Teluk Gadong kini menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan juga para pelajar khususnya dari UITM untuk berehat pada waktu petang.

Pelbagai kemudahan terdapat di Pantai Teluk Gadong. Antara kemudahan yang ada di sini ialah gerai makan, taman permainan, pondok rehat dan juga tempat letak kereta.
Di Teluk Gadong ini juga terdapat sebuah tasik dan hutan lipur. Kawasan Teluk Gadong ini berpontensi menjadi satu produk pelancongan terbaik di Daerah Dungun sekiranya usaha memaju & menjaga keindahan kawasan dijalankan secara berterusan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.