Sunday, January 31, 2016

Pantai Peranginan Kelulut



Pantai Peranginan Kelulut merupakan destinasi pelancongan popular di Daerah Marang. Jarak perjalanan dari Bandar Kuala Terengganu hanya 17 km sahaja. Pengunjung yang berkunjung ke Pantai Peranginan Kelulut pasti tertarik dengan keindahan dan ketenangan terdapat di sini. Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati hidangan laut yang segar dari restoran dan gerai makan yang ada di Pantai Peranginan Kelulut ini.


Selain dari penduduk tempatan, ramai pengunjung luar yang menjadikan Pantai Peranginan Kelulut sebagai destinasi persinggahan untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan.

Friday, January 15, 2016

Pantai Batu Rakit




Batu Rakit merupakan sebuah bandar kecil yang terletak kira-kira 15 km dari Bandar Kuala Terengganu. Batu Rakit dipercayai mendapat namanya dari kewujudan batu yang berbentuk rakit yang terletak kira-kira 300 meter di tengah laut. Walaupun tiada catatan rasmi , penempatan di Pantai Batu Rakit dipercayai telah dibuka pada awal 1800an.


Batu Rakit terkenal kerana terdapat pelbagai Institusi Pengajian Tinggi di sini seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Pendidikan Guru, Kampus Dato' Razali Ismail dan Institut Teknologi Petronas Batu Rakit (INSTEP).


Antara makanan tempatan popular di Batu Rakit ialah Keropok Lekor. Pelancong yang berkunjung ke sini boleh menikmati Keropok Lekor di kedai atau warung yang terdapat di kawasan ini. Pelancong yang berkunjung ke Pantai Batu Rakit juga boleh menikmati makanan hasil laut yang yang segar.


Selain dapat melihat keindahan Pantai Batu Rakit, pelancong yang datang ke sini juga dapat melihat sendiri bagaimana kehidupan sebagai nelayan dan juga sekiranya bernasib baik pelancong juga berpeluang untuk membeli hasil laut yang segar dengan harga yang berpatutan.

Friday, January 1, 2016

Pantai Teluk Bidara



Pantai Teluk Bidara terletak di Kampung Seberang Pintasan, di Daerah Dungun, Terengganu. Ia dikatakan antara pantai yang tercantik di Negeri Terengganu. Lokasi Pantai Teluk Bidara ini ialah berhampiran dengan Tanjong Jara Beach Resort.


Selain dari penduduk tempatan, Pantai Teluk Bidara juga menjadi tumpuan pelancong luar terutama pada hujung minggu dan hari cuti persekolahan. Selain pantai yang cantik, di Pantai Teluk Bidara juga terdapat kawasan batu batan dan gua kecil bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak. Selain dari gerai makan, di pantai ini juga banyak didirikan pondok-pondok rehat untuk kemudahan pengunjung.


Sekiranya anda dari Kuala Terengganu, Hotel Tanjong Jara Beach Resort boleh menjadi panduan perjalanan anda sekiranya anda ingin berkunjung ke Pantai Teluk Bidara.