Monday, February 29, 2016

Pantai Batu Buruk



 
Pantai Batu Buruk merupakan antara pantai yang terkenal, bersih dan tercantik di Terengganu. Pantai Batu Buruk terletak hanya 1 km dari pusat Bandar Kuala Terengganu. Disamping itu juga terdapat aktiviti bermain layang-layang, bolasepak pantai, bola tampar, sepak raga dan bola jaring di pantai. Untuk kanak-kanak ada disediakan tempat permainan khas berhampiran pantai.
Selain dari restoran makanan segera (KFC & A&W), pengunjung juga boleh menikmati pelbagai jenis makanan tradisional seperti Nasi Dagang dan Keropok Lekor di pantai ini.

Sekiranya anda berkunjung ke sini pada hujung minggu, terdapat aktiviti pasar malam pada setiap hari Jumaat bermula jam 3.00 petang. Pada hari Jumaat juga terdapat persembahan pentas dari pukul 5.00 hingga 6.30 petang di Pentas Budaya.

Monday, February 15, 2016

Pantai Air Tawar




Pantai Air Tawar yang terkenal dengan keindahan pantainya merupakan destinasi pelancongan popular di Daerah Besut, Terengganu. Selain dari berkelah dan mandi-manda, pengunjung juga boleh menikmati keindahan pemandangan di tepi Pantai Air Tawar ini.

Pantai Air Tawar sering menjadi tumpuan penduduk tempatan pada setiap petang, hujung minggu ataupun pada musim cuti persekolahan. Kawasan peranginan Pantai Air Tawar ini juga sering diadakan Pesta Kebudayaan dan Kesenian bagi menyambut kedatangan para pelancong.
Pelbagai kemudahan terdapat di Pantai Air Tawar seperti gerai makan, wakaf, taman permainan dan tandas awam. Bagi mereka yang ingin bermalam, terdapat hotel dan chalet di kawasan berhampiran. Dengan kemudahan yang ada, Pantai Air Tawar kerap menjadi destinasi percutian keluarga selain menjadi tempat pilihan untuk menjalankan aktiviti kebudayaan dan sebagainya.

Sekiranya anda berkunjung ke Besut, singgahlah di Pantai Air Tawar. Pantai Air Tawar ini terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari Pekan Kuala Besut atau 30 minit dari Bandar Jerteh.

Monday, February 1, 2016

Pantai Bukit Keluang



Pantai Bukit Keluang merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Daerah Besut, Terengganu. Ia terletak di Kampung Bukit Keluang, iaitu 3 km dari Kuala Besut dan 19 km dari Bandar Jerteh. Dari Bandar Kuala Terengganu, jaraknya ialah kira-kira 140km, iaitu ke utara Terengganu.

Pantai Bukit Keluang merupakan pantai yang menjadi tumpuan pelancong kerana mempunyai daya tarikan dan keindahan yang tersendiri. Selain dari menikmati keindahan pemandangan, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti  di Pantai Bukit Keluang seperti berkelah, mandi-manda, memancing, berkhemah, mendaki Bukit Keluang, luncur air, jet ski dan bermain wau.

Bukit yang ada di tepi pantai ini dinamakan Bukit Keluang dimana terdapat struktur batuan yang membentuk gua-gua kecil di tepi pantai. Kemudahan pelantar yang diperbuat dari kayu juga disediakan di tepi Bukit Keluang bagi kemudahan pengunjung untuk berjalan sambil menikmati keindahan pemandangan Pantai Bukit Keluang melalui lereng-lereng bukit. Pengunjung yang berminat  juga boleh meneroka dan menikmati pemandangan di dalam gua yang terdapat di sini.

Pelbagai kemudahan turut disediakan di Pantai Bukit Keluang untuk kemudahan pengunjung seperti gerai makanan, surau, wakaf rehat, taman permainan kanak-kanak, titian tasik air laut, laluan (tangga) merentas bukit dan tandas awam.

Bagi pengunjung yang ingin bermalam di Pantai Bukit Keluang, terdapat banyak  tempat penginapan seperti hotel, resort, chalet dan inap desa. Sekiranya anda memilih untuk bercuti di Besut, jangan lepaskan peluang untuk ke Pantai Bukit Keluang.