Thursday, March 31, 2016

Pantai Rhu Sepuluh



Sekiranya anda berkunjung ke Pantai Penarik pastikan anda juga berkunjung ke Pantai Rhu Sepuluh ini. Pantai Rhu Sepuluh juga terletak di Daerah Setiu, Terengganu. Pantai Rhu Sepuluh seperti juga Pantai Penarik merupakan sebuah perkampungan nelayan.

Jarak Pantai Rhu Sepuluh dengan Pantai Penarik hanya 400 meter. Jarak perjalanan dari Kuala Terengganu ke Pantai Rhu Sepuluh ialah lebih kurang 90 km. Sekiranya anda berkunjung ke Pantai Rhu Sepuluh ini, jangan lupa menikmati makanan popular di sini iaitu “ikan celup tepung”.

Tuesday, March 15, 2016

Pantai Rantau Abang

 
Rantau Abang merupakan salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di Terengganu. Rantau Abang terkenal kerana pernah menjadi tempat pendaratan penyu untuk bertelur. Ia mempunyai kedudukan pinggir pantai yang baik kerana adanya lerengan yang curam dan mendalam untuk penyu mendarat di pantai tersebut.

Rantau Abang terletak 62 km dari Bandar Kuala Terengganu dan 17 km dari Bandar Dungun. Pada zaman kemuncaknya, setiap malam pada musim penyu bertelur antara Mac hingga Ogos, sekurang-kurangnya 80 ekor penyu akan mendarat di sepanjang pantai Rantau Abang.

Penyu Belimbing antara spesies penyu yang paling banyak mendarat di Rantau Abang. Penyu Belimbing ini boleh membesar sehingga 2.5m panjang dan seberat 600kg. Penyu Belimbing merupakan penyu yang terbesar antara tujuh spesies haiwan itu yang wujud di dunia. Namun kini mengalami ancaman kepupusan.

Ia hanya mendarat untuk bertelur di pantai Rantau Abang apabila tiba musimnya. Namun jumlah pendaratan penyu spesies itu menurun secara mendadak sejak 16 tahun lepas. Gaya hidup masyarakat di sesetengah negara yang menjadikan daging penyu sebagai hidangan mereka menyumbang kepupusan penyu seluruh dunia.

Tuesday, March 1, 2016

Pantai Tanjung Jara



 
Pantai Tanjung Jara merupakan sebuah pantai yang amat cantik dan menarik. Pantai ini terletak di Daerah Dungun dan berhampiran dengan Pantai Teluk Bidara, Pantai Rantau Abang dan Pantai Batu Pelanduk.
Pantai Tanjung Jara ini mempunyai kawasan pasir halus keemasan yang menarik. Disamping menikmati hembusan bayu laut, pengunjung yang datang ke sini juga berpeluang untuk melakukan aktiviti seperti
Luncur air, menaiki bot, berkayak, menyelam dan pelbagai sukan air yang lain.

Bagaimana Untuk Ke Pantai Tanjung Jara

Sekiranya anda menaiki bas ekspress, sila dapatkan tiket bas dari Kuala Lumpur ke Dungun. Antara syarikat bas yang membuat perjalanan terus ke Dungun ialah Syarikat Bas Utama Ekspres. Dari Hentian Bas Ekspres Dungun, anda boleh menaiki teksi untuk ke Pantai Tanjung Jara.

Anda juga boleh memandu dari Kuala Lumpur dengan menggunakan kenderaan sendiri. Anda perlu menggunakan Lebuhraya Pantai Timur ke arah Kuantan. Setelah tiba di Kuantan, cari arah perjalanan ke
Terengganu, Kemaman atau Dungun.

Sekiranya anda membuat keputusan untuk ke sini menggunakan pengangkutan udara, Sistem Penerbangan Malaysia dan Air Asia ada menyediakan penerbangan ke Kuala Terengganu setiap hari. Dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, ambil teksi untuk ke Dungun.