Saturday, April 30, 2016

Pantai Merang


Pantai Merang merupakan satu lagi pantai yang indah dan menarik untuk dikunjungi di Terengganu. Pantai Merang terletak di Daerah Setiu dan bagi mereka yang pertama kali datang ke Terengganu, pastikan anda tidak keliru dengan nama “Merang” dan “Marang”. Merang merupakan sebuah tempat di Daerah Setiu, manakala Marang pula ialah sebuah daerah dalam Negeri Terengganu.

Di pantai ini terdapat Jeti Merang yang digunakan pelancong untuk ke pulau berhampiran seperti Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah. Merang merupakan salah satu pintu masuk utama untuk ke Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah. Di Sungai Merang berhampiran kawasan pantai ini juga terdapat Kunang-kunang. Anda boleh menyewa bot dari Jeti Merang untuk menyaksikan sendiri kerlipan Kunang-kunang ini.
Berhampiran kawasan ini juga dibina benteng pemecah ombak untuk menetapkan kedalaman muara sungai, yang mana pembinaan ini telah menghasilkan laguna buatan manusia. Ini menjadikan kawasan ini sesuai dijadikan sebagai tapak perkhemahan. Di Pantai Merang ini juga terdapat sebuah Taman Awam yang indah dan beberapa minit sahaja dari Jeti Merang.

Di samping berehat menikmati keindahan pantai, anda juga boleh menikmati makanan laut segar yang terdapat di gerai makan di sepanjang pantai ini. Walaupun bukan pantai yang terkenal di Terengganu, pantai yang panjang dan berpasir putih ini pasti akan meninggalkan kenangan indah kepada mereka yang berkunjung ke sini.

Untuk ke Pantai Merang menggunakan pengangkutan awam, anda boleh menaiki bas dari Hentian Bas MBKT atau dengan teksi di Perhentian Teksi Kuala Terengganu.

Friday, April 15, 2016

Pantai Kemasik



Pantai Kemasik sering menjadi tumpuan penduduk tempatan terutama pada hujung minggu dan hari kelepasan. Berhampiran Pantai Kemasik juga terdapat sebuah perkampungan nelayan. Kepada yang meminati bidang fotografi, Pantai Kemasik menawarkan keindahan tersendiri yang sukar ditemui di pantai lain.

Pantai Kemasik di Daerah Kemaman terletak 19 km dari Bandar Chukai di Kemaman iaitu kira-kira 20 minit perjalanan. Pemandangan yang indah, pantai yang bersih, air yang jernih, pasir berwarna keemasan dan bukit berbatu menjadi tarikan utama pengunjung untuk datang ke Pantai Kemasik.

Di pantai ini juga terdapat beberapai gerai berhampiran untuk kemudahan pengunjung yang datang ke Pantai Kemasik. Tandas Awam dan tempat letak kereta juga dibina di Pantai Kemasik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di Pantai Kemasik ialah berkelah, mengambil gambar, mandi-manda, berjoging, berjalan-jalan, bermain bolasepak pantai dan bola tampar.
Bagaimana untuk ke Pantai Kemasik

Jika anda datang dari Kuala Terengganu, anda boleh menggunakan jalan persisiran pantai untuk ke Pantai Kemasik. Jarak perjalanan dari Bandar Kuala Terengganu ke Kemasik ialah 137 km, kira-kira 2 jam perjalanan. Dari Kuala Terengganu, anda akan melalui Marang-Dungun-Paka-Kerteh-Kemasik. Sekiranya anda dari Kuantan, anda perlu menuju ke Bandar Chukai di Kemaman. Dari Kemaman, anda perlu mengikut jalan persisiran pantai Chukai-Kijal-Kemasik.

Friday, April 1, 2016

Pantai Batu Pelanduk

Kuala Abang mempunyai sebuah pantai yang menarik untuk dikunjungi iaitu Pantai Batu Pelanduk. Pantai ini diberi nama Pantai Batu Pelanduk ialah kerana terdapat struktur batu yang menyerupai Pelanduk di tepi pantai ini.

Kampung Kuala Abang terletak dalam Daerah Dungun, Terengganu. Jarak Kampung Kuala Abang dengan Bandar Dungun ialah lebih kurang 10 km. Untuk ke Pantai Batu Pelanduk, pengunjung boleh menaiki bas dari Kuala Terengganu ke Dungun atau bas dari Bandar Dungun ke Kuala Terengganu.

Pantai yang bersih diikuti dengan keindahan panorama membuatkan pengunjung tidak melepaskan peluang merakamkan keindahan pantai. Pengunjung yang datang ke Pantai Batu Pelanduk boleh memilih sama ada menginap di sekitar Rantau Abang atau pun di Bandar Dungun.

Sumber pendapatan utama penduduk Kampung Kuala Abang ialah sebagai nelayan. Mereka terdiri daripada nelayan tepi pantai dan laut dalam. Sekitar bulan Mei sehingga bulan Julai, nelayan di sini akan turun menjadi nelayan Ikan Bilis manakala pada bulan-bulan berikutnya mereka menjadi nelayan biasa. Pengunjung yang berkunjung ke sini juga boleh melihat bagaimana penduduk kampung ini memproses Ikan Bilis.