Pantai Merang merupakan satu lagi
pantai yang indah dan menarik untuk dikunjungi di Terengganu. Pantai Merang
terletak di Daerah Setiu dan bagi mereka yang pertama kali datang ke
Terengganu, pastikan anda tidak keliru dengan nama “Merang” dan “Marang”.
Merang merupakan sebuah tempat di Daerah Setiu, manakala Marang pula ialah
sebuah daerah dalam Negeri Terengganu.
Di pantai ini terdapat Jeti
Merang yang digunakan pelancong untuk ke pulau berhampiran seperti Pulau Redang
dan Pulau Lang Tengah. Merang merupakan salah satu pintu masuk utama untuk ke
Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah. Di Sungai Merang berhampiran kawasan pantai
ini juga terdapat Kunang-kunang. Anda boleh menyewa bot dari Jeti Merang untuk
menyaksikan sendiri kerlipan Kunang-kunang ini.
Berhampiran kawasan ini juga
dibina benteng pemecah ombak untuk menetapkan kedalaman muara sungai, yang mana
pembinaan ini telah menghasilkan laguna buatan manusia. Ini menjadikan kawasan
ini sesuai dijadikan sebagai tapak perkhemahan. Di Pantai Merang ini juga
terdapat sebuah Taman Awam yang indah dan beberapa minit sahaja dari Jeti
Merang.
Di samping berehat menikmati
keindahan pantai, anda juga boleh menikmati makanan laut segar yang terdapat di
gerai makan di sepanjang pantai ini. Walaupun bukan pantai yang terkenal di
Terengganu, pantai yang panjang dan berpasir putih ini pasti akan meninggalkan
kenangan indah kepada mereka yang berkunjung ke sini.
Untuk ke Pantai Merang
menggunakan pengangkutan awam, anda boleh menaiki bas dari Hentian Bas MBKT
atau dengan teksi di Perhentian Teksi Kuala Terengganu.
No comments:
Post a Comment